Dalam ilmu kemanusiaan, manusia disifatkan sebagai makhluk sosial yang tidak dapat tidak memerlukan bantuan orang lain dalam memenuhi keperluan hidup dan keinginannya yang pelbagai. Dalam ilmu ekonomi keinginan atau kehendak manusia dikatakan tidak terbatas (unlimited wants). Sumber yang ada untuk memenuhi keperluan pula dikatakan terhad (limited resources). Ketidakseimbangan sentiasa wujud antara kedua-dua unsur ini. Justeru, keadaan ini menjurus kepada wujudnya berbagai macam permasalahan ekonomi yang berterusan dan tidak kunjung selesai, bahkan semakin hari semakin gawat. Permasalahan ini tidak terhenti setakat itu sahaja bahkan melebar kepada timbulnya permasalahan politik dan sosial dalam kehidupan masyarakat.
Berbagai teori dan model ekonomi, sosial dan politik telah dikemukakan dan dipraktikkan manusia, namun semuanya ternyata berakhir dengan kegagalan atau jauh tersasar dari apa yang dihajatkan. Kenapa demikian? Jawapannya tuntas iaitu kerana segala teori dan model itu tidak mengambil panduan dari apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ada yang mengambilnya namun separuh atau tidak menyeluruh. Al-quran sebenarnya telah menegaskan bahawa jalan penyelesaiannya tidak lain melainkan mengambil Islam sepenuhnya sebagai sistem kehidupan, sama ada dalam konteks individu, kelompok mahupun masyarakat.
Sememangnya koperasi merupakan antara instrumen yang mantap untuk diketengahkan bagi menangani permasalahan ekonomi masyarakat. Dari sudut konsep ianya suatu yang baik. Istilah koperasi itu sendiri membawa makna kerjasama dan melambangkan usaha-usaha kearah mencapai kepentingan bersama antara ahli-ahli. Islam menawarkan satu prinsip yang jelas dalam hal ini iaitu ta’awun untuk diterapkan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ma’idah ayat 2, bermaksud: “…Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. Bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah sangat berat siksaan-Nya”.
Ta’awun bermaksud tolong-menolong, bantu-membantu dan lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Dari ayat di atas, disebalik gesaan untuk ta’awun, terdapat beberapa syarat yang perlu disempurnakan. Islam mengarahkan tujuan dan bentuk tolong-menolong itu hanya dalam hal kebaikan dan untuk segala perkara yang baik serta bermanfaat sesuai dengan peraturan serta dengan izin Allah SWT. Ta’awun tidak sekali-kali dalam perkara dosa dan permusuhan. Ta’awun juga disyaratkan didasarkan atas iman, taqwa, kebenaran, dan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.
Dalam surah At-Taubah ayat 71 Allah SWT mendetailkan lagi syarat-syarat lain bagi kesempurnaan ta’awun. “Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebagian mereka menjadi penolong bagi sebagian yang lain. Mereka menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan shalat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana”.
Demikian, ta’awun dalam Islam merangkumi penerapan dua bentuk hubungan iaitu hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia. Kedua aspek ini tidak boleh dipisahkan sama sekali. Pelaksanaannya akan tempang sekiranya berlaku pemisahan antara keduanya. Terbukti dalam sejarah, ta’awun dalam kalangan kaum muslimin yang diasaskan atas dua unsur ini telah melahirkan pelbagai kekuatan dan solidariti. Sabda Nabi Rasulullah SAW Artinya: “Seorang mukmin dengan mukmin lainnya bagaikan satu bangunan yang sebagiannya menguatkan bagian lainnya.” [HR. Al-Bukhari].
Wallahu ‘Alam.
ejen takaful
Dapatkan sebutharga untuk insurans dan perbaharui cukai jalan (roadtax) kenderaan anda. Pihak kami akan menghubungi anda apabila insurans kenderaan anda hampir tamat tempoh untuk tahun berikutnya.