Kongsikan Kebaikan

Al-Qardhul Hasan: Pemangkin Mahabbah Dan Kesejahteraan Hidup Bermasyarakat

Oleh: Dr. Hj. Nik Mutasim bin Hj. Ab. Rahman

Dalam sistem perbankan dan kewangan Islam terdapat satu instrumen pinjaman dan pembiayaan ditawarkan kepada pelanggan iaitu dikenali sebagai Al-Qardhul Hasan. Instrumen ini tidak banyak dipraktikkan berbanding instrumen lain seperti murabahah, mudarabah, musyarakah dan seumpamanya. Secara ringkas, Pinjaman Al-Qardhul Hasan diberikan tanpa mengenakan faedah atau lebihan ke atas amaun yang dipinjamkan. Pembayaran baliknya pula adalah berdasarkan jumlah yang dipinjamkan, tanpa faedah atau sebarang lebihan ditetapkan.

Relatif kepada instrumen perbankan yang lain, instrumen ini adalah unik kerana sifatnya yang dikatakan mempromosikan nilai-nilai sosial, kebajikan dan moral dalam Islam. Keistimewaan instrumen ini ialah penerima pinjaman digalakkan dengan ikhlas hati membayar balik pinjaman melebihi amaun pinjaman yang diperoleh. Hal ini berbeza sama sekali dengan pinjaman konvensional yang menetapkan lebih awal kadar atau lebihan amaun pinjaman sewaktu pembayaran balik pinjaman. Justeru, lebihan yang ditetapkan ini menjurus kepada unsur riba dan diharamkan dalam islam.

Instrumen ini dibangunkan berdasarkan beberapa ayat al-quran antaranya; pertama,
مَنْ ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافًا كَثِيرَةً ۚ وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Bermaksud; Siapakah yang mau memberi pinjaman kepada Allah, pinjaman yang baik (menafkahkan hartanya di jalan Allah), maka Allah akan meperlipat gandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak. Dan Allah menyempitkan dan melapangkan (rezeki) dan kepada-Nya-lah kamu dikembalikan (2:245).
Kedua,
مَنْ ذَا الَّذِي يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضًا حَسَنًا فَيُضَاعِفَهُ لَهُ وَلَهُ أَجْرٌ كَرِيمٌ

Bermaksud: Siapakah yang mau meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, maka Allah akan melipat-gandakan (balasan) pinjaman itu untuknya, dan dia akan memperoleh pahala yang banyak.

Buya Hamka dalam menafsirkan ayat-ayat di atas menekankan bahawa “memberi pinjaman kepada Allah” bukan bermaksud Allah memerlukan pinjaman, bahkan sebaliknya kerana Allah mahu memuliakan hamba-Nya. Menurut beliau, Allah “meminjam” kerana Allah mahu mengangkat darjat hambaNya yang berinfak. Demikian juga Allah mahu menunjukkan betapa besar nilai amalan itu di sisi-Nya, dan Allah mahu membangkitkan rasa cinta manusia kepada Allah. Justeru, Allah tidak meminta pinjaman kerana Dia berhajat, tetapi kerana hendak menjadikan manusia merasakan amalnya amat berharga di sisi Allah.” Kerana itu kata Hamka syarat pelaksanaan Al-Qardhul Hasan ialah ikhlas, tidak merungut, tidak merasa tertindas, tidak menagih balasan manusia dan tidak mengungkit-ungkit pemberian. Selanjutnya beliau menulis, orang yang memberi Al-Qardhul Hasan ialah orang yang bersih jiwanya, yakin rezekinya di tangan Allah, dan tidak diperhambakan oleh harta dunia.

Dalam ayat di atas, Hamka menyebut bahawa dalam memberi kepada sesama muslim, Allah membalasnya sendiri dengan berlipat ganda. Allah menggunakan istilah pinjaman supaya manusia lebih mudah faham bahawa pemberian itu pasti dibayar semula, dan dibayar bukan “sekadar pulang modal”, tetapi dilipatgandakan ganjarannya seperti yang dinyatakan dengan jelas dalam ayat 57:18 bermaksud “Allah akan melipatgandakan seperti orang meniaga mendapat untung, tetapi keuntungan dari Allah tidak ada batasnya.” Balasannya tentu sekali bukan semata-mata bersifat material tetapi juga kebekatan dan rahmat Allah SWT kepada pihak-pihak yang terlibat.

Al-Qardhul Hasan sekiranya dipraktikkan secara sempurna sememangnya berfungsi mendidik jiwa dan membentuk akhlak. Hamka melihat Al-Qardhul Hasan sebagai medan latihan mendidik hati dari sifat tamak, membiasakan diri memberi, membina masyarakat penyayang, dan mengikis cinta dunia yang berlebihan.

Bagi Hamka, orang yang berat memberi sebenarnya masih diperhamba dunia, belum yakin dengan janji Allah, dan belum benar-benar merdeka jiwa mereka. Dalam sirah, para sahabat menginfakkan harta mereka bagi membela Islam. Mereka faham bahawa “pinjaman kepada Allah” adalah perjuangan, dan memiliki nilai pengorbanan yang tinggi disisi Allah SWT. Bagi Buya Hamka: “Agama tidak akan tegak tanpa pengorbanan. Al-Qardhul Hasan ialah bahasa halus Allah supaya manusia berlumba-lumba memberi untuk agama.” Sementara itu, pelaku Al-Qardhul Hasan akan memiliki hati yang lapang, rezeki mereka dipermudah, dosa dibersihkan, dan terbina hubungan yang akrab dengan Allah.

Al-marhum Profesor Yusof Qardhawi turut menyentuh konsep Al-Qardhul Hasan dalam penulisan beliau. Bagi beliau Al-Qardhul Hasan adalah ibadah yang tidak mungkin dilakukan kecuali oleh orang yang ikhlas dan percaya sepenuhnya kepada janji Allah. Al-Qardhul Hasan disebut beliau sebagai infak “terbersih” yang menjanjikan balasan yang pasti dan besar. Menurut beliau lagi “Allah ingin mengajar manusia bahawa setiap pemberian yang ikhlas pasti kembali, lebih baik daripada pulangan mana-mana ekonomi dunia “.

Al-Qardhul Hasan dalam konteks sosial dan ekonomi menurut al-Qardhawi adalah asas sistem kewangan Islam yang berteraskan akhlak, ia melatih masyarakat agar saling membantu, ia mengurangkan jurang kaya-miskin, dan ia menjadi alternatif kepada pinjaman riba. Masyarakat yang subur dengan Al-Qardhul Hasan akan menjadi masyarakat yang penyayang, stabil dan bebas riba. Skop rangkuman Al-Qardhul Hasan bukan hanya berkaitan dengan wang, tetapi juga ilmu, tenaga, masa, pertolongan, maupun projek pembangunan ummah. Apa sahaja yang diberikan kerana Allah termasuk dalam kategori ini—selagi syaratnya ialah ikhlas.

Allah menggunakan istilah pinjaman supaya manusia sedar bahawa harta bukan milik mereka, mereka hanya mengurus, dan apa yang “dipinjamkan” kepada Allah akan kembali lebih baik. Al-Qardhul Hasan turut disifatkan sebagai ujian keyakinan kepada Allah. Orang yang memberi Al-Qardhul Hasan ialah orang yang tidak takut miskin, yakin rezekinya dijamin, dan percaya Allah tidak pernah memungkiri janji. Beliau menekankan: “Sesiapa yang memberi pinjaman kepada Allah, maka ia sebenarnya meminjamkan kepada diri sendiri untuk masa depannya di akhirat.”

Menyedari banyak kelebihan dan keistimewaan konsep Al-Qardhul Hasan tidak syak lagi ia harus dimakmurkan. Institusi kewangan dan pertubuhan koperasi sewajarnya menyuburkan pengaplikasian Al-Qardhul Hasan dalam kehidupan sosial dan kebajikan masyarakat. Demikian juga pelaksanaannya dalam kalangan anggota masyarakat harus digarapkan. Untuk itu masyarakat perlu dididik dan diberi kesedaran dan kefahaman akan konsep ini. Pelaksanaannya secara meluas pasti menjanjikan kesejahteraan dan mahabbah dalam kehidupan bermasyarakat.

koplit